Pernah tuan lalui momen berbual dengan seseorang yang cakapnya laju dan kurang jelas?
Atau, kita sendiri apabila bercakap dengan orang lain akan bercakap dengan sangat laju.
Ini situasi yang lazim apatah lagi apabila ianya dalam suasana kesegeraan atau melalui perbualan yang sukar.
Bahkan di dalam Al Quran ada menceritakan antara sifat manusia adalah ingin bersegera atau inginkan sesuatu dengan cepat.
Di dalam Surah Anbiya’ Surah 21 ayat 37 disebut, “Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa”.
Mengambil ibroh toma’ninah di dalam Solat yang mensyaratkan pendiri Solat berhenti seketika di antara rukun-rukun solat seperti bangun dari ruku’ solat, dengan kaedah inferens atau membawa keluar hikmah/manfaat dari perlakuan tersebut, ia juga satu teknik yang boleh diaplikasi dalam komunikasi harian.
Ahli psikologi terkenal, Mortimer Adler (m. 2001) di dalam karya beliau ‘How To Listen, How To Speak’ (1983) membincangkan dengan luas berkenaan peri penting kemahiran mendengar dan kemahiran bercakap.
Beliau yang terkenal dengan adi karya ‘How To Read A Book’ (1940) menjelaskan kepentingan mendengar dengan teliti apa yang dibualkan oleh orang lain demi menjaga perasaan serta menghormati orang lain.
Begitu juga dengan kemahiran berbual dengan intonasi yang betul untuk audien yang betul.
Menurut Adler lagi, mengekalkan satu intonasi adalah lebih mudah dan jelas bagi sesiapa yang mendengar ucapan kita.
Seseorang yang mampu untuk berjeda atau berhenti seketika mahu pun berdiam ketika orang lain bercakap, dia akan kelihatan tenang dan berpengaruh.
Individu khususnya seorang ketua yang mampu bertenang ketika menghadapi pelbagai situasi di tempat kerja akan diberi tanggapan yang baik dan diberi perhatian.
Tiga tips mudah untuk berjeda ketika berbual:
1. Beri ruang sekitar 30 saat – 1 minit untuk berfikir sebelum memulakan kata-kata.
Berbanding dengan bercakap dahulu sebelum berfikir, adab yang lebih cermat adalah dengan memberikan ruang kepada orang lain itu menyelesaikan kata-katanya dengan sempurna sebelum kita memberi respon, jika diminta. Ada masanya, perbualan itu hanyalah sekadar untuk kita mendengar sahaja tanpa memberi pandangan. Kemukakan soalan mudah seperti, ‘Tuan ingin pandangan saya tentang ini?’ seakan-akan meminta izin untuk memberi pandangan sebagai simbol menghormati.
2. Gunakan kaedah mendengar untuk benar-benar memahami (listening to understand) dan bukan sekadar menadah telinga dengan tujuan memberi respon (listening to respond).
Dengan mendengar untuk memahami, kita akan meletakkan seluruh perhatian kepada apa yang diucapkan oleh orang lain. Gangguan seperti bunyi bising atau ‘jenayah’ lekafon (phubbing) mesti dielakkan. Memegang telefon bimbit semasa orang lain sedang bercakap dianggap satu kekurangan adab.
3. Gunakan kaedah ‘break the state’.
Ini bermaksud mengubah keadaan & kedudukan seseorang itu ketika satu-satu perkara itu timbul atau berlaku. Misalnya, staf datang memaklumkan bahawa ada isu di tempat kerja dan pada ketika itu masing-masing berada di ruang pantry misalnya. Ambil pendekatan ‘break the state’ dengan memberi arahan supaya berhimpun di bilik mesyuarat dalam masa 30 minit. Masa senggang yang ‘dicipta’ akan memberi ruang bertenang dan menjana idea dan solusi.
Berbual dengan tenang itu senang. Ia simbol inginkan kejelasan dan ketenangan dalam berkomunikasi. Bagi seorang ketua, ia menaikkan krebiliti & daya pengaruh.
Oleh:
Hj Syamsul Amri A Razak
GOVTRAININGHUB.COM
(PERCUMA) Daftar Webinar Latihan Kepimpinan & Komunikasi

Setiap hari Rabu (minggu ke-2 & 4), kami anjurkan webinar percuma dengan tema kepimpinan dan komunikasi.
Webinar ini 100% percuma, pembelajaran melalui online sahaja.

