Apabila ada orang melakukan kesalahan, Nabi (salawat) tidak menegur semua jenis kesalahan.
Maksudnya, ada kesalahan yang Nabi tegur, manakala ada kesalahan yang Nabi tidak tegur, sebaliknya Nabi diam sahaja seolah-olah beliau tidak perasaan orang itu melakukan kesalahan itu.
5 Jenis Kesalahan
Nabi bezakan beberapa jenis kesalahan:
1. Kesalahan yang Nabi tidak tegur
2. Kesalahan yang Nabi tegur secara rahsia
3. Kesalahan yang Nabi hukum
4. Kesalahan yang Nabi suruh pesalah betulkan sendiri
5. Kesalahan yang Nabi suruh orang lain betulkan
Salah satu punca ketua mengalami stress adalah kerana dia tegur dan mahu betulkan semua kesilapan orang bawahannya. Asal sahaja orang bawahannya melakukan kesilapan, si ketua tegur dan suruh betulkan.
Semua jenis kesilapan orang bawahan ditegur dengan cara yang sama. Kesilapan orang bawahan tidak dibeza-bezakan ke dalam beberapa jenis di mana lain-lain jenis kesilapan, lain-lain cara menegurnya.
Apabila orang bawahan mengulang-ulang kesilapan yang sama, stress si ketua naik makin tinggi.
Kesalahan ringan tidak boleh ditegur dengan cara marah-marah. Kesalahan jenis ini bukan perkara berdosa. Ketua jangan naikkan suara.
Hadith ‘Badui Kencing di Dalam Masjid’
Anas bin Malek melaporkan, pada suatu hari dia dan sekumpulan lelaki berada di dalam masjid bersama Rasulullah.
Tiba-tiba seorang lelaki Arab dari kampung masuk, kemudian dia berdiri lalu dia kencing. Melihat kejadian itu, mereka yang ada di situ mengherdik lelaki itu.
Nabi berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan saja.” Semua yang ada pun membiarkan orang kampung itu menghabiskan kencingnya.
Kemudian Nabi memanggil lelaki itu dan berkata, “Di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang walau sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah azza wajalla, solat, dan membaca al Quran.”
Selepas itu Nabi menyuruh orang yang ada di situ supaya mengambil air, lalu disirami kecing lelaki itu.
– Sahih Muslim
Dalam hadith di atas, kesalahan Badui itu adalah kesalahan ringan. Kencing bukan kesalahan. Dia kencing di tempat yang salah, itu sahaja.
Si Badui itu masih bodoh, dia tidak tahu peraturan di dalam masjid. Nabi tidak memarahi Badui itu. Nabi terangkan sahaja kepada si Badui itu peraturan di dalam masjid.
Kata Nabi, “Di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang walau sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah azza wajalla, solat, dan membaca al Quran.”
Kemudian Nabi suruh orang lain supaya dia ambil air dan bersihkan kencing itu. Selepas itu si Badui pun tahu peraturan menjaga kebersihan di dalam masjid.
5 Cara Nabi Membetulkan Kesalahan
Cara nabi membetulkan kesalahan si Badui yang tidak tahu cara betul membersihkan kesan kencingnya:
1. Nabi tidak memarahi dan membodohkan Badui itu.
2. Nabi tidak suruh Badui itu sendiri yang bersihkan kesan kecingnya.
3. Nabi suruh orang lain ambil air dan bersihkan kencing Badui itu. Tentulah orang itu tahu cara-cara betul membersihkan kesan kencing.
4. Nabi panggil Badui itu dan terangkan peraturan di dalam masjid. Kata Nabi kepada Badui itu: “Di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang walau sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah azza wajalla, solat, dan membaca al Quran.”
5. Nabi tidak ajar sendiri Badui itu cara membersihkan kesan kencingnya, meskipun Nabi tahu cara itu. Nabi tidak suruh Si Badui itu sendiri bersihkan kesan kencingnya, sebaliknya Nabi suruh orang lain
Nabi menjaga aib dan maruah Badui itu. Si Badui tidak menanggung malu berganda. Sudahlah dia buat salah, kena denda cuci pula. Si Badui tidak mengalami kecederaan emosi mahupun kecederaan psikologi.
(PERCUMA) Daftar Webinar Latihan Kepimpinan & Komunikasi

Setiap hari Rabu (minggu ke-2 & 4), kami anjurkan webinar percuma dengan tema kepimpinan dan komunikasi.
Webinar ini 100% percuma, pembelajaran melalui online sahaja.

